Raya Bersederhana PKPB 2020; Kampung Ijok, Kuala Selangor.



Berzaman, lemang tetap menjadi antara pilihan juadah berhari raya untuk keluarga dan pengunjung di Aidilfitri. Ketekunan dan kesabaran amat diperlukan. Bukan tugasan yang mudah untuk memasak lemang. Golongan anak-anak dan menantu yang berada di desa digalakkan membantu apa yang perlu. Bertahan panas; berkeringat kasar selama tiga hingga empat jam. Api juga perlu sentiasa dikawal sebaik mungkin. Batang buluh perlu sentiasa dibalik-balikkan posisinya untuk memastikan lemang masak sekata.



Salam Lebaran 1441 H di era PKPB 2020,

           Menyambut hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2020 tidak bermakna perlu membiarkan kemeriahan atau keriangan berlalu begitu sahaja. Hari raya wajar diraikan dengan penuh kesyukuran seperti biasa tetapi secara bersederhana. Begitulah amalan yang dipraktikkan oleh kebanyakan penduduk di Kampung Ijok, Kuala Selangor pada kali ini.

          Aktiviti memasak dimulakan se awal jam 3.00 petang, 30 Ramadan 1441 H. Mungkin ada juga yang bermula lebih awal kerana tidak mahu tergesa-gesa di saat akhir. Amalan bertukar-tukar juadah antara ahli kejiranan di hari terakhir Ramadan tetap dilakukan walau tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya. 



Generasi cucu dan cicit  membeli sedikit juadah berbuka puasa di hari terakhir Ramadan 1441H.


          Tiada aktiviti jualan di Pasar Ramadan untuk tahun ini. Bersempena PKP yang telah dilonggarkan sedikit kepada PKPB, aktiviti menjana ekonomi secara terkawal oleh peniaga  kecil di desa dibenarkan. Beroperasi  di rumah dan sebagainya; SOP sentiasa dipatuhi. Penjarakan sosial, membasuh tangan dan memakai mask bila perlu. Taufu Fa yang enak ini diniagakan pada harga RM5.00 untuk tiga bekas.


Antara spesis primat yang turut dilihat memeriahkan suasana petang di hari terakhir Ramadan 1441 Hijrah.





Lemang sudah masak!



          Menjelang waktu berbuka puasa, lemang juga telah siap dimasak. Sedia untuk dicuba rasa semasa berbuka. Suatu kepuasan dapat menyelesaikan misi memasak lemang pada kali ini. Api membakar lemang tidak terus dipadamkan. Tanah kemudiannya dilonggokkan untuk dibakar; tetapi untuk apa membakar tanah?



Tanah bakar dimanfaatkan sebaiknya untuk menanam sayur-sayuran dan lain-lain. Bertindak sebagai medium penanaman yang subur, tanah bakar telah digunakan secara meluas oleh pekebun dan penanam sayur berskala kecil dan besar.




Nasi himpit dan lauk pauk juga telah siap dimasak.



          Waktu maghrib akhirnya menjelang tiba. Anak bulan 1 Syawal 1441H menjelma. Suasana meriah mula dirasai. Mercun dan bunga api mula kedengaran berdentum-dentam di seluruh kampung. Penduduk secara bersederhana menunjukkan ekspresi keriangan dengan cara masimg-masing.



Percikan dan letupan  kemeriahan "sederhana'' di malam raya; tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Dijangkakan sangat ramai yang tidak pulang menyambut raya di kampung halaman pada kali ini terutamanya bagi mereka yang bekerja dan menetap di luar Selangor. Perjalanan merentas negeri adalah dilarang sama sekali.





Black out malam raya!


          Tidak dijangka; namun tetap direkodkan sebagai kenangan malam raya PKPB 2020. Mungkin kebanyakan rumah warga Kampung Ijok bergelap seketika lebih kurang dalam jam 9.30 malam selepas menonton Perutusan Khas Aidilfitri oleh  Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mini generator yang kebetulannya ada di stor banyak membantu di saat sebegini. Mujurlah lebih kurang satu jam selepas itu, keadaan kembali pulih seperti biasa. Setelah segalanya lancar semula, kebanyakan penghuni dijangka tidur awal. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, aktiviti berkumpul sehingga lewat malam terutamanya di kalangan perantau yang mengambil kesempatan berjumpa kawan-kawan lama adalah dilarang bersempena musim PKPB ini. Zakat fitrah juga kebanyakannya diuruskan secara online pada tahun ini.



Pagi satu Syawal 1441 Hijrah menjelma! Ronda-ronda dahulu sebelum tukar baju raya. Tidak perlu tergesa-gesa.

          Dalam kabus nipis yang masih bersisa di arus peredaran masa, ada yang memulakan pagi raya dengan meronda-ronda di sekitar kawasan kampung. Menghirup kesegaran nafas desa tidak lupa juga lalu di kawasan masjid dan surau. Tiada aktiviti Solat Sunat Aidilfitri seperti biasa tetapi hanya dilakukan mengikut SOP yang berkaitan dengan penglibatan minimum jemaah. Takbir hari raya yang berkumandang menghidupkan kesederhanaan sambutan.


Video: Takbir Raya di surau. Tiada Solat Sunat Aidilfitri seperti biasa.









Antara sesi kunjungan tetamu di Aidilfitri. Tiada aktiviti baraan ziarah beramai-ramai dari rumah ke rumah dijangkakan pada tahun ini berikutan SOP yang telah diuar-uarkan. Maksimum aktiviti ziarah ditetapkan 20 orang pada satu-satu masa. Penjarakan sosial juga diamalkan sebaik mungkin. Praktik selalu mencuci tangan dan memakai mask bila perlu juga sentiasa dipatuhi.


Antara gambar kenangan keluarga yang sempat dirakam untuk sesi Raya PKPB 2020 ini.


          Program Ziarah Aidilfitri berterusan meriah hingga ke petang. Penziarah datang dan pergi bersilih ganti Normal baharu SOP Raya terus dilaksanakan walaupun terasa agak janggal. Perlahan-lahan warganegara perlu mulai menghadamnya dan dijadikan amalan alah bisa tegal biasa. Sambutan Aidilfitri tetap juga berjalan seperti biasa tetapi dengan limitasi yang mempunyai kebaikan yang tersendiri.
  

Senja menjelma. Azan maghrib berkumandang. Kebanyakan warga desa sudah berada di rumah masing-masing. Penziarah-penziarah di Aidilfitri juga sudah pulang. Hanya satu hari sahaja dibenarkan  berdasarkan SOP untuk aktiviti  Ziarah Aidilfitri pada tahun ini.


Anak bulan 2 Syawal 1441 H muncul. Berakhir sudah satu lagi kitaran ciptaan hari yang indah di Kampung Ijok, Kuala Selangor. Hari-hari yang mendatang pasti lebih menggirangkan. Wabak Covid-19 pasti berlalu pergi jua. 


Terima Kasih.

Fb page: E-Book Klasik Hijau
Website: ebukuhijau.wordpress.com













Comments

Popular posts from this blog

Puisi "Antara keengganan, daging korban dan alasan"

Bot Penambang Warisan Sungai Muar.

MR HARUAN TEGAR!