Bot Penambang Warisan Sungai Muar.


 





Klasik dan mendamaikan. Pemandangan di sekitar  kawasan Jeti Bot Penambang Kundang Ulu, Tangkak. Di seberang sana adalah Jeti Liang Batu, Muar. Dua kampung dalam dua daerah berbeza dipisahkan oleh Sungai Muar yang bersejarah unik. Sungai Muar selain Sungai Pahang, Sungai Serting dan Sungai Jempol merupakan sebahagian sistem sungai yang meninggalkan jejak sejarah 'Sistem Jalan Penarikan' yang cukup terkenal seawal abad ke-13 lagi sebelum kisah Parameswara datang ke Melaka mendominasi arkib sejarah. Pelayar dan pedagang dari Selat Melaka pada era itu 'tembus berurusan merentas jalan pintas' ke Laut Cina Selatan tanpa perlu mengelilingi tanah semenanjung. Ada yang mengatakan selain sokongan perahu pengagih barang dagangan, kapal besar juga boleh sampai ke Jalan Penarikan, Ibarat jalan raya penting pada era terdahulu; namun Sistem Jalan Penarikan kini hanya tinggal sejarah selain sungai-sungai yang berkaitan semakin cetek mendepani arus peredaran zaman. Sungai masih 'hidup' tetapi daya huni dan peranannya sudah  tidak seperti dahulu samada sungai-sungai itu sudah mula pudar daya tarikannya atau ahli komuniti yang yang sudah mula perlahan-lahan tidak mahu lagi memikirkan keberadaannya.


Al Kisah 1, Sepetang 12hb Oktober 2021: Medan Selera Kundang Ulu.

"Helo, Hasan? Macam mana kesihatan sekarang?"

Pemanggil berdiam diri seketika; fokus mendengarkan jawapan daripada pihak sebelah sana lalu kemudiannya menyambung, "Baik, kalau macam tu, kami tunggu di seberang sini, kaudatang naik bot sajalah, ya? Dah sihatkan? Boleh naik motor keluar rumah ke jeti. Kami dekat kedai makan tepi sungai ni, minum petang dengan kena roti canai. Dekat saja dengan jeti seberang sini..."



Bot penambang sampai ke Jeti Kundang Ulu.

Lebih kurang 20 minit kemudian, bot penambang dilihat membawa seseorang dari jeti seberang dan disambut oleh anak saudaranya. Mereka kemudiannya menuju ke kedai minum yang dimaksudkan oeh pemanggil tadi.

"Wah, daripada jauh nampak cara kauberjalan macam askarlah, Hasan! Macam orang berkawad!" sapa isteri Si Pemanggil tadi. Si Pemanggil pula hanya tersengih-sengih memerhatikan kemesraan antara seorang kakak dan adik kandung itu.

"Yalah. Dah berusia macam ni dapat berjalan sikit-sikit seadanya pun dah ok. Syukurlah dah rasa sihat sikit ni. Lama tak jumpa musim Covid ni. Apa khabar..."


Berbual-bual di kedai makan berhampiran Jeti Kundang Ulu.

Perbualan mula berkisar tentang cerita keluarga. Khabarnya juga seseorang ingin mengadakan majlis kenduri kahwin untuk anaknya dalam masa terdekat di Seremban dan mempelawa hadir memeriahkan majlis. Pastinya mengikut SOP musim pandemik ini. Perbualan kemudiannya terus rancak  daripada satu topik kepada topik yang lain.


Al Kisah 2: Menyeberang dengan Bot Penambang.

"Ayah, jom naik bot pergi sebelah sana. Macam best je..."

'Jom! Biarkan Atok dan Nenek borak-borak dengan Tok Itam dulu..."

Pengendali bot penambang kemudiannya  menghidupkan enjin bot dan mengemudi cermat ke tengah sungai. Rasa sedikit berdebar-debar segera berganti tenang dan mendamaikan memerhatikan aliran Sungai Muar. Si Anak turut leka dan kagum memerhatikan pemandangan alam semulajadi yang sangat jarang atau sudah tidak dapat lagi ditemui di kawasan pekan dan bandar itu. 

Menarik nafas alam sedalam-dalamnya, rembesan bauran aliran Sungai Muar tidak terperi segarnya. Mungkin di dalamnya tersimpan arkib alur-alur kisah warisan silam yang dapat dirungkai dan dijadikan perkongsian istimewa pada kemudian hari.



Menaiki bot penambang. Jeti di seberang adalah Jeti Liang Batu.

Belum puas menikmati pemandangan dari tengah sungai, kami sudah sampai ke Jeti Liang Batu di seberang. Lebih kurang dua minit sahaja perjalanannya. Pada era yang lebih awal; bot pendayung mungkin mengambil masa dalam lima minit untuk menyeberang. Enjin dimatikan; bot diparkir seketika sementara menantikan penumpang lain datang untuk ke seberang sana pula.

"Bekas Menteri Besar sebelum ni anak tempatan. Semasa masih berkhidmat; beliau juga berminat untuk mengekalkan ciri warisan ni sebagai tarikan di Sungai Muar. Rasanya ini satu-satunya warisan bot penambang di Sungai Muar. Dulu-dulu di Bukit Kepong pun ada bot penambang ni. Selepas jambatan Jalan Bukit Kepong-Kebun Baru dibuat, perkhidmatannya berhentilah..." kata pengendali bot penambang mengajak saya berbual-bual.

"Wah, menarik juga. Jambatan pun penting tapi mengekalkan ciri warisan ni pun sama penting juga; terpulang kepada hala tuju pembangunan pada masa depan. Tapi memang ramai yang akan suka dengan pembangunan hijau sambil mengekalkan ciri warisan ni. Anak saya ni pun setidaknya dapat merasa naik bot penambang Sungai Muar yang bersejarah ni. Bukan senang nak dapat naik bot penambang warisan ni.  Betul tak? Hehe...."

"Hehe! Ya, betul Bang. Kita harap bot penambang yang terakhir ni dikekalkanlah sebagai salah satu ciri warisan Sungai Muar dan juga warisan Johor. Kita suka juga ramai pelancong dari luar kawasan datang melawat ke sini sambil menghirup udara segar Sungai Muar. Ikan baung dan udang galah pun ada tapi kena tengok keadaan air kalau nak mancing. Biasa orang sini mancing bila air hijau."

Tidak lama menunggu, seorang penunggang motosikal sampai ke jeti. Motosikal turut dimuatkan sekali ke dalam bot. Enjin bot dihidupkan dan kami menyeberang ke seberang sana pula. Di seberang kelihatan Pak Itam sedang menunggu di jeti untuk ke seberang sini pula. Motosikalnya diparkir di Jeti Liang Batu tadi. Kebetulan juga, pengendali bot penambang merupakan sepupu kepada isteri Pak Itam. Mak Itam tidak dapat mengikut tadi kerana kesihatannya tidak berapa mengizinkan. 

Selesai saling mengucapkan salam, kami meneruskan perjalanan masing-masing. Pak Itam menyeberang ke Jeti Liang Batu dengan bot penambang. Kami pula berkereta balik ke rumah di Bukit Kepong.


Jeti Kundang Ulu.

Sepetang yang bermakna dengan urusan silaturahmi kekeluargaan dihubungkan istimewa oleh Bot Penambang Warisan Sungai Muar!


Al Kisah 3, 13hb Oktober 2021: Jeti Bukit Kepong.

Pagi itu kami ingin balik ke Selangor dan mengambil laluan Bukit Kepong-Pagoh sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan. Sesampainya di Pekan Bukit Kepong, kami berhenti singgah seketika di Jeti Bukit Kepong bersebelahan Muzium Darurat Bukit Kepong.

Pemandangan kawasan sekitar Sungai Muar mendamaikan seperti biasa. Di kejauhan kelihatan juga jambatan merentas Sungai Muar seperti yang diceritakan oleh pengendali bot penambang petang semalam di Jeti Liang Batu. Di seberang sana pula kebun sawit dan sedikit kawasan bersemak tepi sungai mendominasi landskap semasa. Menurut informasi penduduk setempat, rumah bekas pengendali bot penambang terakhir; arwah Pak Dol letaknya di kawasan seberang sana dahulu. Pada ketika itu sekitar70-an; perkhidmatan yang ditawarkan adalah secara mendayung. Sekarang tapak rumahnya sudah tidak kelihatan lagi.

    
Di kejauhan kelihatan Jambatan Bukit Kepong.


Salah satu view dari Jeti Bukit Kepong.


Pekan Bukit Kepong


Pada tahun-tahun 50-an, Bukit Kepong masih  terputus hubungan jalan darat dengan kawasan lain. Hutan tebal masih belum diterokai. Pengangkutan jalan air merupakan satu-satunya pengangkutan yang menjadi pilihan untuk ke luar kawasan. Sedikit sebanyak kisahnya diolah dalam bentuk filem Peristiwa Bukit Kepong tentang serangan komunis pada tahun 1950. Tapak serangan yang dimaksudkan telah dijadikan Galeri Darurat Bukit Kepong sekarang ini. Selain itu, aktiviti perlombongn bijih meratakan 'bukit tinggi' juga antara kisah warisan yang hanya diketahui oleh generasi terdahulu. Bijih diangkat keluar melalui Sungai Muar dengan menggunakan tongkang.

Perjalanan pengangkutan jalan air sehingga ke Pagoh pada ketika itu mengambil masa yang agak panjang mungkin hampir sehari. Terdapat anak tempatan yang berkahwin dengan penduduk luar kawasan seperti di Pagoh dan sebagainya dan apabila sesekali ingin melawat keluarga mentua dan sebagainya, pasti menggunakan perkhidmatan jalan air. Sekarang mengikut laluan  jalan raya, tidak sampai setengah jam sudah sampai ke Pekan Pagoh.

Mungkin suatu ketika dahulu Bukit Kepong boleh dianggap sebagai salah satu destinasi memancing udang galah atau baung yang jarang mengecewakan. Kini keadaan sudah berubah. Aktiviti pencemaran tidak berhemah telah memberi kesan kepada Sungai Muar dan Bukit Kepong juga. 

"Kami tidak marah orang nak melombong pasir di sungai. Rezeki masing-masing; tetapi tolonglah jangan cemarkan sungai dengan minyak hidraulik, minyak enjin dan lain-lain semasa operasi. Sekarang ikan dan udang sudah sangat berkurang. Orang tempatan pun dah tak berapa minat nak memancing meraih rezeki bila dengar ada aktiviti melombong pasir tidak jauh dari sini. Orang luar datang kadang berharap nak dapat hasil memancing selalu kecewa. Tolong fikirkan juga tentang masa depan sungai ini," luah salah seorang anak tempatan ketika saya berbual-bual dengannya tidak berapa lama dahulu.

Berkadaran dengan peredaran waktu, Sungai Muar terus mengalir harmoni  menawarkan kisah yang tersendiri di setiap mukim, daerah dan negeri termasuklah berkait warisan sejarah, keindahan alam, sumber rezeki dll. Kita berharap semakin ramai yang terus menghargai keberadaannya.

Terima kasih.














Comments

  1. Terbaik ๐Ÿ‘๐Ÿ‘๐Ÿ‘

    ReplyDelete
  2. Menarik. ๐Ÿ‘
    Satu perjalanan kehidupan alam yang memberikan pengalaman dan ilmu

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Puisi "Antara keengganan, daging korban dan alasan"

MR HARUAN TEGAR!